0
06 September 2012

Raya Pertama

Raya pertama tanpa insan tersayang-suasananya suram. Bangun seawal pagi, bersiap-siap untuk solat sunat hari raya, hanya ada satu kenangan terlintas tentang mak - pesanan mak setiap kali di pagi raya." Jangan lupa mandi sunat hari raya ". Lepas gosok baju dan bersiap-siap, terus masuk ke bilik jumpa mak - bersalam minta maaf. Tahun ni semuanya berubah 110%. Selesai solat hari raya, tempat pertama yang dituju adalah kubur. Terngiang pesanan mak setiap kali bila melawat kubur, jangan lupa ucap salam kepada ahli kubur. Tapi sekarang, mak dah jadi sebahagian dari ahlinya.Innalillah. DariNya kita datang dan kepadaNya kita kembali. Yang tinggal hanya nasihat dan pesanannya dalam menempuh kehidupan. Selepas menziarahi kubur ayah, aku terus ke kubur mak. Sambil berdoa, satu perasaan terus menerjah ke dalam diri. Terasa sayu dan sedih mengenangkan saat - saat bersama mak sepanjang 28 tahun bersama. Air mata aku sudah tak tertahan-tahan lagi. Akhirnya jatuh bercucuran.

Dulu, setiap kali hari raya jadual wajib aku- melawat kubur ayah 2 kali. Pertama, selepas sembahyang raya aku akan terus ke kubur untuk titipkan secebis doa buatnya. Pagi hari raya ke 2, selalunya akulah orang yang dicari mak untuk diajak menemani dia ke kubur. Di kubur, mak selalu bacakan surah Yasin dan doa untuk dihadiahkan kepada arwah. Bila matahari memancar, bahang pun mula terasa. Begitulah setianya mak demi mendoakan kesejahteraan arwah ayah.

Tahun ni, aku pasang niat nak lakukan benda yang sama. Tapi ternyata aku lemah. Perasaan aku tak dapat dikawal. Mungkin satu hari nanti aku akan berjaya melakukan benda yang sama untuk arwah mereka berdua. Insyallah...

0 comments:

Post a Comment