Raya pertama tanpa insan tersayang-suasananya suram. Bangun seawal pagi, bersiap-siap untuk solat sunat hari raya, hanya ada satu kenangan terlintas tentang mak - pesanan mak setiap kali di pagi raya." Jangan lupa mandi sunat hari raya ". Lepas gosok baju dan bersiap-siap, terus masuk ke bilik jumpa mak - bersalam minta maaf. Tahun ni semuanya berubah 110%. Selesai solat hari raya, tempat pertama yang dituju adalah kubur. Terngiang pesanan mak setiap kali bila melawat kubur, jangan lupa ucap salam kepada ahli kubur. Tapi sekarang, mak dah jadi sebahagian dari ahlinya.Innalillah. DariNya kita datang dan kepadaNya kita kembali. Yang tinggal hanya nasihat dan pesanannya dalam menempuh kehidupan. Selepas menziarahi kubur ayah, aku terus ke kubur mak. Sambil berdoa, satu perasaan terus menerjah ke dalam diri. Terasa sayu dan sedih mengenangkan saat - saat bersama mak sepanjang 28 tahun bersama. Air mata aku sudah tak tertahan-tahan lagi. Akhirnya jatuh bercucuran.
Dulu, setiap kali hari raya jadual wajib aku- melawat kubur ayah 2 kali. Pertama, selepas sembahyang raya aku akan terus ke kubur untuk titipkan secebis doa buatnya. Pagi hari raya ke 2, selalunya akulah orang yang dicari mak untuk diajak menemani dia ke kubur. Di kubur, mak selalu bacakan surah Yasin dan doa untuk dihadiahkan kepada arwah. Bila matahari memancar, bahang pun mula terasa. Begitulah setianya mak demi mendoakan kesejahteraan arwah ayah.
Tahun ni, aku pasang niat nak lakukan benda yang sama. Tapi ternyata aku lemah. Perasaan aku tak dapat dikawal. Mungkin satu hari nanti aku akan berjaya melakukan benda yang sama untuk arwah mereka berdua. Insyallah...
24 February 2012
Hidup untuk " HIDUP YANG ABADI "
Bukankah Allah yang menciptakan untukmu bumi yang elok dihampar, yang menjadikan malam sebagai tidur, yang menjadikan matahari sebagai pelita. Apabila semua makhluk di seluruh dunia ini sedar akan kasih sayang Allah maka kematian hanyalah sesuatu yang dinantikan setelah mereka berkerja di muka bumi bertahun-tahun. Mungkin ada antara kita ada yang sudah lelah, penat bekerja sebagai isteri, bertahun tahun memberi makan anak, menjaga orang tua atau mungkin kakitangan/staf dari bawah yang tidak pernah mempunyai jawatan tinggi, tidak menerima bonus dan gaji yang setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan, ditindas yang hidupnya bekerja dengan ikhlas, Maka kematian itu adalah menjadi sesuatu yang dinantikan dan ditunggu-tunggu olehnya. Dia terlalu menantikan apa yang dikatakan di dalam Al Quran. Ketika malaikat di depan pintu syurga. Mereka menyambut sambil berkata " Salamun alaikum bima shabartum " (keselamatan dan kesejahteraan atas kesabaranmu). Dan yang paling dinantikan, adalah sambutan daripada Allah.
Kebahagiaan-kebahagian ini telah lama dilupakan dan tidak dirindui. Manusia hanya berfikir bahawa kebahagiaan itu apabila rumahnya seperti banglo, kereta mewah dan jawatan yang tinggi. Kita lupa bahawa hakiki adalah perjumpaan dengan Rabbul Alamin.
Bayangkan ketika Aidilfitri, perasaan cinta yang bahagia bersama dengan ibu dan bapa, berkumpul bersama dengan anak dan isteri setelah berpuasa selama 30 hari di bulan Ramadhan.Bayangkan rasa cinta dan bahagia itu. Sekarang rasa bahagia itu cubalah kalikan dengan seribu, kalikan dengan seribu, sejuta rasa bahagia itu ketika bersama isteri, suami, Aidilfitri bahkan ketika berada dihadapan pintu Kaabah.Rasa kebahagiaan itu tak cukup dibandingkan dengan rasa bahagianya bertemu dengan Allah.
Bayangkan apabila semua umat berlumba-lumba menuju Allah, berlumba-lumba mencari redha Allah, berlumba-lumba untuk memberikan kebahagiaan.berlumba-lumba untuk mendapatkan catatan daripada Allah. Apakah akan ada orang-orang yang melanggar rebutan jawatan, kekuasaan, harta, kedudukan? Yang ada hanyalah orang-orang yang bekerja kerana Allah, tersenyum sepanjang jalan. Hanyalah orang-orang yang tersenyum. Kerana di hatinya terbayang perjumpaan dengan kekasih. Semua menegakkan kebenaran, semua menegakkan keadilan, semua menegakkan nilai-nilai kemuliaan berlumba-lumba dalam kebaikan.Tak ada lagi rasa iri, tak ada lagi rasa dengki, tak ada lagi rasa khuatir. Inilah dunia yang dirindukan oleh Rasulullah SAW.
Pernahkah kita berfikir sejenak tentang kehidupan kita.Pernahkah kita berfikir, mengapa kita memiliki kehidupan di saat ini? Bacalah. Baca dengan nama Tuhanmu yang Menciptakanmu.Bacalah, dengan nama Tuhanmu Yang Maha Pemurah.Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajar kepada manusia tentang apa yang tidak diketahuinya.
Ketika orang tahu, kita tahu,siapa diri kita? dimana diri kita? dan mahu kemana kita?Kalau kita sudah tahu dimana diri kita, tujuan kita berjumpa Allah, pasti kita menjadi manusia yang damai, sejahtera, lahir batiniah dunia akhirat.
Hidup ini mencari mati yang SEMPURNA
Kisah Nabi Musa Dengan Jirannya Di Syurga
Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah s.w.t. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah s.w.t.. Nabi Musa sering bertanya dan Allah s.w.t. akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t.. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah s.w.t pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.
Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.
"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah s.w.t. telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah s.w.t. itu soal lain. Itu urusannya denganAllah s.w.t.. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.
"Setiap hari aku berdoa kepada Allah s.w.t. agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah s.w.t. menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah s.w.t. masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi. Maka ketika itu juga Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."
Allah s.w.t. juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga." Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah s.w.t. supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah s.w.t. Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.
Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang , tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah s.w.t
Aku PC?
Dulu aku pernah menerima sanjungan. Hasil dari kebijaksanaan dalam bidang akademik. Sejak sekolah rendah, aku sentiasa mendapat tempat terbaik . Bersaing merebut tempat 1, 2 dan 3. Disanjung kawan-kawan dan guru di sekolah. Menjadi harapan ibu dan ayah di rumah. Sehinggakan, Penolong Kanan sendiri pernah datang ke rumah dengan bantuan pak cik tukang kebun, semata-mata untuk menghantar surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah sekolah yang berprestij di Malaysia. Sambil menghulur surat, dia berpesan. " Kamu mesti pergi, jangan sia-siakan peluang ini. Ini peluang kamu, belum ada lagi pelajar kita pergi melanjutkan pelajaran di sana". Begitu besar harapan seorang guru walaupun aku tak pernah mengenalinya secara dekat. Pernah sekali kami bersua muka. Itu pun sebab aku ada masalah disiplin. Pengawas bergaduh dengan pelajar-rekod paling teruk aku sebagai pelajar. Sebab? Aku ditolak ke pintu bilik muzik yang catnya belum kering-baju baru yang hari pertama aku pakai, tiba-tiba dah kena cat.
Kalau diikutnya dari prestasi dan cerita ini, tentu orang akan memandang tinggi untuk aku sekarang. Beruntungnya awak, dapat belajar di sekolah yang hebat, akademik yang bagus dan prestasi sukan yang gah. Benarkah? kenyataan itu buat aku termenung seketika.
Ini adalah secebis kisah dari sekian banyak kisah masyarakat dalam dunia hari ini. Aku tak nafikan, memang ramai lagi di luar sana yang tidak dapat mengecapi kejayaan sepertimana yang pernah aku capai. Namun, tak semuanya berakhir dengan apa yang kita mahukan.
Lalu, sekarang aku mula berfikir. Benarkah aku beruntung kerana memiliki segulung ijazah yang akhirnya tak kemana-mana? Benar, dari satu sudut aku amat beruntung kerana memiliki kurniaan akal dari Allah, beruntung itu adalah suatu yang besar maksudnya. Malah, rakan yang dulunya selalu keciciran dan menghuni 3 tempat tercorot di dalam kelas pun sudah berjaya dari aku. Malah sudah jauh meninggalkan aku di belakang.
Ada orang yang fikir hidupnya akan lebih bahagia jika dia kaya. Mungkin apa yang kita nampak sekarang tidak sama di pengakhirannya. Di dunia dia hidup susah dan merempat, tapi di akhirat kehidupannya tenang dan abadi. Orang yang kaya hidupnya senang lenang di dunia, tetapi sebaliknya di akhirat kerana terpaksa menanggung kekesalan akibat salah laku dan dosa yang pernah dilakukannya dulu.
Kejayaan tidak menjamin kebahagiaan hidup!!!